MENTERI PENDIDIKAN TINGGI MERIAHKAN BALIKAMPUS ALUMNI

DSC 3772k

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga alumni Universiti Sains Malaysia (USM) memeriahkan program makan malam Balikampus Persatuan Alumni USM (PAUSM) baru-baru ini.

Dalam sidang media yang diadakan, Idris menyatakan perasaan gembiranya kerana dapat kembali bertemu rakan-rakan lama yang menghadiri acara ini apatah lagi baginya yang bertemu jodoh di kampus ini dan pernah pula menerajui Majlis Perwakilan Pelajar USM dan merangkul Pingat Emas Canselor semasa mengikuti pengajian dahulu.

DSC 3832fg

“Tentu sahaja saya menyokong apa jua acara yang diadakan oleh alumni USM termasuk penubuhan tabungnya dan berharap para alumni USM akan terus berbuat demikian pada masa hadapan,” kata Idris.

Sementara itu, Presiden PAUSM,  Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, pada masa ini, PAUSM berusaha menjenamakannya sebagai “AWESOME’ sebagai singkatan daripada AUSM (Alumni USM) dalam menarik generasi baharu  untuk bergerak aktif dalam kepimpinannya.

“Kita ingin supaya para alumni memahami fundamental penubuhan USM sejak tahun 1969 dengan tugu transformasi yang terletak dalam bulatan berhampiran Bangunan Canselori, Anjung Budi dan Bank Muamalat yang menunjukkan proses ini sudah lama berlaku di USM dengan asas yang kukuh oleh Naib Canselor pertamanya Tan Sri Hamzah Sendut,” kata Dzulkifli.

DSC 3896hm

Tambahnya lagi, PAUSM ingin mencadangkan kepada USM untuk menamakan Pusat Sejahtera dengan memberi penghormatan kepada  allahyarham Dr Azizi Aiyub Ghazali serta menamakan mana-mana premis USM sebagai kenang-kenangan kepada Al-Marhum D.Y.M.M Sultan Azlan Shah yang pernah menjadi Pro Canselor USM serta allahyarham Tan Sri Ani Arope yang pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah/Lembaga Gabenor USM.

Pada majlis yang sama diumumkan secara rasmi pelantikan Pro Canselor Tan Sri Mustafa Mansur sebagai Penaung AUSM dan pelancaran Tabung PAUSM serta pengumuman Tokoh ‘Awesome’ PAUSM yang diberikan kepada dua orang alumni USM Profesor Madya Dr. Afidah Abdul Rahim dan Profesor Madya Dr. Azreen Syazril Adnan.

Kira-kira 200 orang alumni USM dan keluarga hadir pada majlis tersebut termasuk mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik) USM Dato’ Dr. Sharom Ahmat, mantan Pendaftar Dato’ N.A. Ogle serta mantan menteri kabinet Malaysia Dato’ Seri Chia Kwang Chye.

Pada siangnya para alumni USM mengadakan program kesihatan di Pusat Sejahtera, kayuhan basikal sekitar kampus melalui kawasan Eco-Hub dan beberapa acara sosial lain.

​Teks: Mohamad Abdullah​