SPEAK 2015 : PENTADBIR PERLU FAHAMI TUGAS AHLI AKADEMIK

LANGKAWI, KEDAH, 7 Oktober 2015 - Para pentadbir perlu juga menjadi dan memahami tugas ahli akademik bagi menampung keperluan ilmu dalam pentadbiran operasi serta menghasilkan pentadbir yang serba boleh seperti mana ahli akademik perlu juga tahu tugas lain termasuk pentadbiran selain menguasai bidang akademik dan penyelidikan.

01

Demikian kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman ketika menyampaikan ucap utama dan merasmikan Seminar Pengurusan Akademik Institut Pengajian Tinggi Peringkat Kebangsaan (SPeAK) kali keempat di sini hari ini.

Naib Canselor juga meminta semua pentadbir untuk bersama-sama memainkan peranan memacu kecemerlangan dengan mempunyai satu visi yang dikongsi bersama di samping mengurangkan sebarang sempadan dan jurang dengan ahli akademik.

02

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal pula berkata, penganjuran SPeAK 2015 kali ini sangat bertepatan waktunya dengan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) PPPM (PT) enam bulan lalu dan perbincangan lanjut mengenai hal ini perlu dikupas dan dipraktikkan.

03

SPeAK 2015 disertai oleh 120 orang pentadbir dan ahli akademik dari 20 institusi pendidikan tinggi seluruh Malaysia sebagai ruang perkongsian ilmu, idea dan kreativiti berkaitan perkembangan dan pembangunan pengajian tinggi yang boleh dipraktikkan dalam pengurusan institusi.

SPeAK 2015 berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dengan tema Higher Education for the Future vs The Future of Higher Education dan dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar USM dengan kerjasama Jawatankuasa Latihan Bersama Institut Pengajian Tinggi Malaysia (JALUMA).

04

Yang turut hadir berkongsi ilmu dengan para peserta ialah Ahli Lembaga Gabenor USM, Tengku Tan Sri Dr. Mahaleel Tengku Arif, Naib Canselor dan Presiden Taylor's University, Profesor Dato' Dr. Hassan Said, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dato' Dr. Nor Aieni Mokhtar dan Naib Canselor Open University Malaysia, Profesor Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.

Teks dan foto: Nor Rafizah Md Zain