SPEAK 2015 : JADI LEBIH KOMPETITIF HADAPI PERSAINGAN

LANGKAWI, KEDAH, 8 Oktober 2015 – "Kita perlu terus lihat kepada pesaing dan bersedia untuk lebih kompetitif dalam semua bidang terutama bidang pendidikan tinggi dalam usaha membangunkan sumber manusia," kata Ahli Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM) Tengku Tan Sri Dr. Mahaleel Tengku Arif ketika membentangkan tajuk ‘Higher Education for Global Challenges’ di Seminar Pengurusan Akademik Institut Pengajian Tinggi Peringkat Kebangsaan (SPeAK 2015) di sini hari ini.

05
Menurut Tengku Mahaleel lagi, untuk terus menjadi kompetitif dalam bidang pendidikan, ilmu dan sumber manusia yang ada menjadi faktor utama dengan mempelbagaikan cara melihatnya untuk lebih kompetitif.

"Misalnya kita dapat lihat apabila permintaan terhadap pendidikan di Malaysia lebih tinggi daripada penawaran dan bilangan pelajar antarabangsa melebihi tempatan dalam pelbagai peringkat pengajian sama ada ijazah sarjana muda ataupun ijazah tinggi," tambah Tengku Mahaleel, tokoh korporat yang pernah menerajui jawatan penting di Proton Holdings Berhad, Nestle Malaysia Berhad dan Shell Malaysia.

"Kunci atau dalam bahasa Inggeris KEY kepada persaingan dalam pendidikan ialah Keep, Educating, Yourself (KEY) atau lebih bermaksud terus belajar untuk pembangunan diri sendiri," katanya lagi.

Hal ini juga disokong dan dihuraikan lagi oleh Naib Canselor dan Presiden Taylor's University, Profesor Dato' Dr. Hassan Said dengan membincangkan pelbagai cabaran untuk jangkauan global bagi menghadapi masa hadapan.

Katanya, terdapat pelbagai isu dan cabaran seperti polisi yang ketat, kepelbagaian bahasa, kekangan kewangan serta keselamatan para pelajar.

Hassan juga berkongsi ciri-ciri atau kemampuan pemimpin yang strategik iaitu mempunyai pemikiran global, jaringan yang pelbagai dan pengurusan transformasi.

06
Turut menyampaikan ceramah pada hari kedua SPeAK 2015 adalah Perunding Higher Education Blueprint yang mewakili Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato' Profesor Ir. Dr. Mohd Saleh Jaafar dan Pengarah Kanan Pusat Kepimpinan Akademik Universiti Teknologi Malaysia.Untuk rekod, SPeAK 2015 disertai oleh 120 orang pentadbir dan ahli akademik dari 20 institusi pendidikan tinggi seluruh Malaysia sebagai ruang perkongsian ilmu , idea dan kreativiti berkaitan perkembangan dan pembangunan pengajian tinggi yang boleh dipraktikkan dalam pengurusan institusi.

Tema SPeAK 2015 adalah ‘Higher Education for the Future vs. The Future of Higher Education’ dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar USM dengan kerjasama Jawatankuasa Latihan Bersama Institut Pengajian Tinggi Malaysia (JALUMA).

Teks dan foto: Nor Rafizah Md Zain