PELAJAR DIBERI PELUANG BAHAS ISU SEMASA

Isu01

PULAU PINANG, 13 Disember 2015 - Para pelajar berpeluang mendapat penjelasan tentang pelbagai isu semasa melalui program Townhall JASA Jelajah Kampus 2015 anjuran bersama Universiti Sains Malaysia (USM), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Malaysia dan Karisma USM yang diadakan di sini baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein berharap agar majlis ilmu seperti ini memberi manfaat dan pencerahan tentang isu semasa daripada hanya mendapatnya dari media-media sosial.

"Saya juga berharap para pelajar dapat bertanya kepada ahli panel secara terbuka berkenaan isu semasa negara dan diharapkan para ahli panel dapat berkongsi maklumat bagi perkara-perkara ini dengan jelas dan padat," kata Adnan.

Isu02

Melalui program ini pelajar juga dapat memberi pandangan, kritikan, dan teguran secara konstruktif di samping bersedia mendengar dan menganalisis segala isu di negara dan melontarkan pertimbangan secara rasional dan bukan emosional.

Dua orang ahli panel dijemput memberikan pandangan iaitu Datuk Lokman Noor Adam dan juga alumni USM Tun Faisal Ismail Aziz yang membincangkan pelbagai isu berkaitan termasuk GST, 1MDB, TPPA, Kenaikan Tol, kenaikan harga tambang pengangkutan awam, isu persepsi di dalam media sosial dan lain-lain lagi.

Isu03

Kira-kira 300 orang pelajar menghadiri sesi perbahasan ini.

Yang turut hadir adalah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Malaysia, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkhasi.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar