HARI TERBUKA USM 2016 DAPAT SAMBUTAN RAMAI

jom 4

USM, PULAU PINANG, 10 April 2016 - Lebih 5,000 orang pengunjung memenuhi 50 buah ruang pameran yang menyediakan pelbagai maklumat sempena Hari Terbuka Universiti Sains Malaysia (USM) 2016 yang bermula pagi semalam untuk merebut peluang dan tawaran menyambung pengajian dalam pelbagai bidang yang ditawarkan oleh USM pada peringkat ijazah pertama dan ijazah tinggi termasuk di Kampus Kesihatan Kelantan.

Timbalan Pendaftar Kanan (Bahagian Pengurusan Akademik) USM, Noriah Mohamad berkata, Hari Terbuka USM 2016 mendapat sambutan menggalakkan terutama dari ibu bapa, pelajar sekolah dan kolej serta guru kaunseling.

Ramai pengunjung yang datang selain dari Pulau Pinang seperti Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Perlis dan Kedah untuk memohon kemasukan ke program pendidikan jarak jauh dalam kalangan B40 dan ijazah tinggi.

"Memandangkan sambutan yang menggalakkan, Hari Terbuka USM ini akan dibuat lebih meriah lagi pada tahun hadapan sebagai acara wajib USM malah penyertaan dari pusat pengajian juga amat memberangsangkan," jelasnya lagi.

Pengunjung, Amirah Atikah Mohd Zaini, 19, dari Alor Setar, Kedah berkata, kehadirannya adalah untuk meninjau peluang me­nyam­bung pelajaran dalam bidang media baharu yang disifatkannya mempunyai banyak peluang dalam pasaran kerja.

Anak sulung dari tiga beradik ini berpuas hati dengan segala maklumat yang disediakan sekaligus mendedahkan lebih banyak maklumat dalam bidang berkenaan yang diterangkan sendiri oleh Dekan Pusat Pengajian Seni USM.

“Pengunjung dapat memproleh maklumat secara terus daripada 50 pemamer yang terdiri daripada pusat-pusat pengajian di USM,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Akmal Borhan, 20, dari Pulau Pinang pula berkata, pelbagai maklumat berhubung tawaran pengajian tinggi daripada pelbagai bidang dapat diperolehi di karnival pada hari ini.

Pelajar lepasan STPM ini yang meminati bidang perniagaan dan ingin menjadi akauntan berkata, USM menawarkan bidang pengurusan yang terbaik yang mampu memberi pengajian kepada para pelajar yang bakal memasuki USM.

“Semua maklumat mengenai program pengajian, kelayakan dan kos boleh diketahui dalam karnival ini bagi memudahkan keluarga membuat perancangan mengikut bajet,” katanya.

Hari Terbuka USM 2016 menyajikan pelbagai aktiviti antaranya peluang bertemu dengan wakil dari pusat-pusat pengajian di ruang pameran. Selain itu, turut ditawarkan yuran permohonan percuma kepada calon yang memohon.

Yang turut diadakan ialah taklimat khas kepada kaunselor sekolah dan juga ibu bapa.

Teks: Syuhada Abd. Aziz