Pemeriksa Luar

Fungsi dan Tugas Pemeriksa Luar

a) PELANTIKAN

  • Pemeriksa Luar adalah dilantik oleh Senat setelah diperakukan oleh Majlis Pusat Pengajian/Pusat.
  • Pemeriksa Luar untuk program Ijazah Sarjana Muda boleh dilantik untuk sehingga dua Sidang Akademik berturut-turut dan tidak boleh dilantik semula selepas itu.
  • Pertimbangan boleh diberi untuk melantik semula Pemeriksa Luar yang sama untuk Sidang Akademik seterusnya dengan syarat Senat telah berpuas hati dengan alasan-alasan yang diberikan oleh Majlis Pusat Pengajian/Pusat.

b) BIDANG TUGAS

Tugas Pemeriksa Luar meliputi aspek-aspek seperti berikut :

  • Menasihati Pusat Pengajian/Pusat tentang perkara-perkara berkaitan dengan struktur dan isi kandungan rancangan pra-siswazah, penyelidikan dan pentadbiran yang berkaitan dengan peperiksaan dan bidang yang beliau dilantik. Tumpuan juga perlu diberikan kepada program siswazah jika berkaitan.
  • Menyemak dan menilai kertas-kertas soalan yang disediakan oleh Pemeriksa Dalam.
  • Membuat lawatan ke Universiti semasa peperiksaan diselenggarakan untuk mengetahui tugas-tugas yang dikendalikan oleh Pusat Pengajian/Pusat, kemudahan fizikal yang sedia ada dan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti bersangkutan dengan peperiksaan.
  • Menyemak dan menilai skrip jawapan sepertimana yang diminta oleh Dekan/Pengarah dan memastikan bahawa standard yang ditentukan oleh Pemeriksa Dalam adalah selaras dengan standard yang diamalkan oleh Universiti lain yang bertaraf antarabangsa.
  • Menentukan keseragaman penilaian skrip jawapan calon-calon yang mempunyai taraf yang sama oleh Pemeriksa-pemeriksa Dalam.
  • Memeriksa komponen lisan atau viva-voce di mana perlu.
  • Mengadakan seminar/perjumpaan dengan kakitangan akademik/pelajar.

c) LAPORAN KEPADA NAIB CANSELOR

Menyampai Laporan Sulit kepada Naib Canselor berpandukan format standard yang disediakan tentang perkara-perkara yang disebutkan seperti B[i] - B[vii] di dalam tempoh satu bulan selepas tarikh lawatan.

d) RUMUSAN LAPORAN

Adalah menjadi amalan Universiti untuk mendapatkan pandangan, cadangan dan pemerhatian umum setiap Pemeriksa Luar untuk makluman Senat. Bagi memastikan cadangan-cadangan yang diutarakan dapat dilaksanakan dengan berkesan, USM memohon kerjasama dari setiap Pemeriksa Luar supaya dapat menyediakan Ringkasan Laporan berasaskan Laporan Sulit kepada Naib Canselor.

e) LAWATAN KE UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

Seseorang Pemeriksa Luar dikehendaki melawat Universiti ini pada tempoh peperiksaan dikendalikan dan setakat mana yang boleh menghadiri mesyuarat Majlis Pemeriksa di peringkat Pusat Pengajian/Pusat. Tempoh lawatan sekurang-kurangnya 3 hari bekerja dan maksimum 12 hari. Untuk lawatan ini, kemudahan-kemudahan berikut diberikan kepada Pemeriksa Luar.