Pengecualian Unit

1. Dasar

[I] Asas

Pengecualian Unit adalah satu keistimewaan. Pelajar perlu memohon selewat-lewatnya sebelum akhir minggu kedua daripada tarikh mendaftar sebagai pelajar USM.

Takrifan

Pengecualian unit ditakrifkan sebagai jumlah unit yang diberikan kepada pelajar yang mengikuti kursus di USM yang dikecualikan daripada keperluan pengijazahan. Pelajar hanya perlu mengumpul sejumlah baki unit tertentu bagi tujuan pengijazahan, kelulusan atau gred kursus yang dikumpulkan atau diperolehi di USM sahaja yang diambil kira dalam pengiraan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) bagi tujuan pengijazahan.

Tujuan

  • Memberi ruang dan kemudahan kepada pelajar yang memenuhi syarat dan kriteria untuk memendekkan tempoh pengajian.
  • Mengelakkan pelajar dari mengulang kursus yang telah diambil.
  • Mengiktiraf pendidikan diperingkat pengajian yang sama dan membantu proses mobiliti pelajar antara IPTA/IPTS tempatan.

[II] Pemusatan Pengecualian Unit

Diuruskan melalui Seksyen Peperiksaan Dan Pengijazahan, Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar dengan perakuan PTJ.

[III] Peraturan Pentadbiran

  • Pelajar-pelajar lepasan Diploma yang diiktiraf.
  • Pelajar-pelajar dari IPTA / IPTS yang diiktiraf samada dari dalam atau luar negara yang memohon melanjutkan pengajian di USM di peringkat pengajian yang sama.


2. Prosedur Permohonan

[I] Prosedur

  • Dekan atau Pengarah perlu melantik Jawatankuasa Pengecualian Unit di peringkat pusat pengajian / pusat bagi meneliti, menyemak serta memperakukan senarai kursus-kursus di peringkat diploma/ijazah dari IPT lain yang boleh diterima untuk pengecualian unit dari masa ke semasa.
  • Pelajar yang memohon perlu mengisi Borang Pengecualian Unit selewat-lewatnya minggu kedua dari tarikh mendaftar sebagai pelajar USM. Permohonan dikemukakan untuk perakuan pusat pengajian yang menawarkan kursus berkenaan dan seterusnya dikemukakan untuk kelulusan Timbalan Pendaftar Kanan (Pengurusan Akademik) melalui Seksyen Peperiksaan & Pengijazahan Pelajar, Jabatan Pendaftar.
  • Permohonan bagi mendapatkan pengecualian unit bagi kursus-kursus Universiti seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Tamadun Islam dan Tamadun-Tamadun Asia (TITAS) serta kursus ko-kurikulum, permohonan hendaklah dikemukakan kepada Penyelaras kursus-kursus berkenaan terlebih dahulu.
  • Pelajar hendaklah mengemukakan transkrip lengkap keputusan peperiksaan berserta silibus di peringkat diploma semasa membuat permohonan pengecualian unit bagi membolehkan pusat pengajian meneliti serta membuat perakuan.

[II] Jumlah Pengecualian Semester

Pengecualian semester bergantung pada jumlah pengecualian unit seperti berikut:

Penuh Masa

Jumlah Unit Dikecualikan Jumlah Semester Dikecualikan
8 dan ke bawah Tiada
9 - 32 1
3 hingga 1/3 dari 
jumlah unit berijazah
2

Jarak Jauh

Rancangan Pengajian Jumlah Unit Dikecualikan Jumlah Semester Dikecualikan
Sains 24 dan ke atas 1 Sidang Akademik
Sastera
Sains Kemasyarakatan
Pengurusan 27 dan ke atas 1 Sidang Akademik

3. Tatacara Dan Kriteria

[I] Pelajar-pelajar lepasan Diploma daripada IPT awam dan IPT swasta yang diiktiraf.

  • Pengecualian unit hanya boleh diberikan kepada kursus-kursus yang diperolehi di peringkat diploma sahaja. Kursus-kursus yang dipohon oleh pelajar untuk mendapatkan pengecualian hendaklah kursus-kursus yang setara dengan kursus-kursus yang ditawarkan di USM (sekurang-kurangnya 50 peratus kandungan kursus adalah sama).
  • Kursus-kursus yang dipohon untuk pengecualian unit boleh digabungkan (meliputi dua atau lebih) bagi mendapatkan pengecualian unit untuk satu kursus diperingkat ijazah. Walau bagaimanapun, sekiranya Pusat Pengajian ingin memperakukan satu kursus sahaja di peringkat diploma bagi mendapatkan pengecualian unit satu kursus di peringkat ijazah, kursus di peringkat diploma berkenaan masih mestilah yang setara dengan kursus Universiti dan mempunyai unit yang sama atau lebih.
  • Kursus–kursus yang telah diikuti semasa bekerja (dalam perkhidmatan) oleh pelajar lepasan diploma tidak boleh dipertimbangkan untuk pengecualian unit.
  • Pencapaian minimum dalam peperiksaan bagi kursus-kursus di peringkat diploma yang boleh dipertimbangkan pengecualian unit adalah sekurang-kurangnya gred C atau 2.0 atau setara.
  • Jumlah Pengecualian semester tidak melebihi dua semester.
  • Bagi memperolehi pengecualian unit Latihan Industri, pelajar mestilah mempunyai pengalaman bekerja berterusan selama sekurang-kurangnya dua tahun dalam bidang yang berkenaan. Sekiranya pelajar telah menjalani Latihan Industri semasa mengikuti program pengajian peringkat diploma, pelajar perlu mempunyai pengalaman bekerja selama satu tahun. Di samping itu, pelajar juga dikehendaki mengemukakan laporan tentang tahap kerja dan jenis kerja yang dilakukan. Pengecualian unit Latihan Industri tidak diambil kira dalam mempertimbangkan pengecualian semester.

[II] Pelajar-pelajar lepasan Diploma IPTS Program Kawal Selia / Luaran USM.

  • Pelajar-pelajar lepasan Diploma IPTS Program Kawal Selia / Luaran USM diberi Pengecualian Unit mengikut ketetapan yang telah dibuat oleh sesuatu program pengajian. Lazimnya pengecualian unit bagi pelajar dalam kategori ini adalah secara blok mengikut perjanjian antara USM (melalui pusat pengajian yang menawarkan program) dengan IPTS berkenaan.

[III] Pelajar-pelajar dari IPTA / IPTS yang diiktiraf samada dari dalam atau luar negara yang memohon melanjutkan pengajian di USM di peringkat pengajian yang sama.

  • Kursus-kursus yang telah diikuti di IPT terdahulu adalah setara (sekurang-kurangnya 50% kandungan kursus adalah sama) dengan kursus-kursus yang ditawarkan di USM.
  • Bagi pelajar yang mengikuti di peringkat Diploma lanjutan di IPT lain yang diiktiraf setaraf dengan kursus ijazah pertama di USM, boleh dipertimbangkan pengecualian unit.
  • Jumlah maksimum pengecualian unit yang dibenarkan tidak melebihi 1/3 daripada jumlah keperluan unit bagi pengijazahan (minimum gred C).
  • Pengecualian Unit hanya diberikan untuk kursus universiti atau kursus wajib yang tidak boleh diganti kepada pelajar FO dan berijazah yang diterima masuk untuk melanjutkan pembelajaran di USM. Pengecualian Unit juga tidak boleh diberi untuk keperluan major/minor dan mesti berbeza untuk kes-kes ini. Pelajar tidak dibenarkan memilih major/minor yang sama untuk mengurangkan tempoh pengajian dan tidak dibenarkan mengulangi kursus kecuali kursus bahasa.

4. Perakuan

  •  Borang permohonan yang diluluskan oleh Dekan Pusat Pengajian akan dihantar ke Seksyen Peperiksaaan & Pengijazahan Pelajar untuk pengesahan dan perakuan kelulusan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa).
  • Pengecualian unit bagi pelajar kes-kes khas tertakluk kepada pertimbangan dan budi bicara pihak Universiti Sains Malaysia.


5. Surat Pengecualian Unit

  •  Pengeluaran dan edaran surat Pengecualian Unit kepada pelajar, salinan surat kelulusan dihantar kepada Dekan Pusat Pengajian dan Seksyen Data & Rekod Pelajar.