Pemindahan Kredit & Pengecualian Unit

Dasar Pemindahan Kredit dan Pengecualian Unit


Dasar Pindahan Kredit dan Pengecualian Unit

1.  Pindahan Kredit boleh dilakukan dalam dua (2) kategori seperti berikut:

  • Vertical – Pemindahan kredit daripada peringkat rendah ke peringkat yang lebih tinggi.
  • Horizontal – Pemindahan kredit daripada program di tahap kelayakan yang sama seperti daripada sijil ke sijil/diploma ke diploma/sarjana muda ke sarjana muda.

2.   Pemindahan kredit hendaklah berasaskan kepada pemetaan kursus (subject to subject mapping).

3.   Syarat umum pindah kredit adalah seperti berikut:

a.      Gred lulus – gred minimum iaitu Gred C;

b.      Nilai kredit – sama dengan nilai kredit kursus bagi program di PPT penerima;

c.      Kesetaraan kurikulum kursus – tidak kurang 80% dan;

d.      Kursus yang boleh dipindahkan kredit hendaklah daripada program yang telah mendapat Akreditasi (termasuk Akreditasi Sementara)/

Pengiktirafan dari badan yang berautoriti di negara berkenaan.

4.   Dasar pemindahan kredit secara vertical berdasarkan situasi adalah seperti berikut:

4.1.    Pemindahan kredit daripada Sijil ke Diploma

 Pindahan kredit dibenarkan dengan pindahan maksimum 30% daripada jumlah kredit program yang akan  diikuti.  (Tarikh kuatkuasa 23 Mei 2016).

          4.2.   Pemindahan kredit daripada Diploma kepada Sarjana Muda

 Pindah kredit dibenarkan sehingga maksimum 30% (lebih kurang 1 tahun pengajian) daripada jumlah kredit program yang akan diikuti.

         4.3.    Pemindahan kredit daripada Diploma Lanjutan (Advanced Diploma)  ke Sarjana Muda

 Pelajar yang berkelayakan Diploma Lanjutan (yang turut memiliki Diploma) boleh dipertimbangkan pemindahan kredit sehingga maksimum dua tahun pengajian   program peringkat Sarjana Muda (pelajar akan mengikuti tahun ketiga Program Sarjana Muda).

4.4.   Pemindahan kredit daripada kelayakan yang lebih tinggi (contoh Sarjana Muda) ke program di peringkat yang lebih rendah (contoh Diploma)

 Pemindahan kredit tidak dibenarkan.

5.   Dasar pemindahan kredit secara horizontal berdasarkan situasi adalah seperti berikut:

5.1.    Pelajar telah memiliki kelayakan dan ingin melanjutkan pelajaran kali kedua dalam peringkat yang sama  dengan kelayakan yang dimiliki Pemindahan kredit

 dibenarkan. Tiada had pindah kredit jika pelajar berada di PPT yang sama. Bagi pelajar yang melanjutkan pengajian untuk kali kedua di PPT yang berbeza pindah

 kredit adalah tertakluk kepada tempoh permastautin pelajar (residential year)* . (Tarikh kuatkuasa 23 Mei 2016).

 5.2.   Pelajar sedang mengikuti program dan ingin menukar ke program lain dalam bidang yang sama dengan  program yang sedang diikuti

  Pemindahan kredit dibenarkan. Sekiranya program tersebut diambil di PPT yang sama, tiada had pemindahan kredit tertakluk kepada syarat pindah kredit.

  Sekiranya program yang ingin diikuti di PPT yang berbeza, pemindahan kredit tertakluk kepada syarat permastautinan pelajar (residential year)*

5.3.    Pelajar gagal program dan ingin melanjutkan pengajian dalam program yang lain di peringkat yang sama  Pemindahan kredit (termasuk MPW/MPU) tidak

 dibenarkan.

5.4.    Pelajar berhenti belajar daripada pengajian dan kemudiannya ingin menyambung semula pengajian tetapi di dalam program lain di peringkat yang sama

 Pemindahan kredit boleh dipertimbangkan. Sekiranya program tersebut diambil di PPT yang sama, tiada had pemindahan kredit tertakluk kepada syarat   

 pindah kredit. Sekiranya program yang ingin diikuti di PPT yang berbeza, pemindahan kredit tertakluk kepada syarat permastautin pelajar (residential year)*

 Sebagai panduan, lazimnya currency of knowledge bagi sesuatu program adalah sekitar 5 tahun.

 * Tempoh permastautin (residential year) di PPT yang menganugerahkan kelayakan mengikut  peringkat adalah seperti berikut:

            a)         Sarjana/PhD       :   1 semester

            b)         Sarjana Muda     :   1 tahun

            c)         Diploma dan sijil   :  1 semester

5.5.    Pelajar sedang mengikuti suatu program dan dalam masa yang sama mengambil beberapa kursus di PPT yang lain (contoh program mobiliti atau

 program pertukaran pelajar) Pemindahan kredit adalah dibenarkan tertakluk kepada tempoh permastautin (residential year) di PPT yang

 menganugerahkan kelayakan. (Tarikh kuatkuasa pada 19 September 2016).

** Catatan:

  • Pindah kredit secara horizontal bagi Program Sarjana dan Kedoktoran (kerja kursus dan campuran) adalah dibenarkan berdasarkan case by case basis.
  • Pindah kredit secara vertical dari Sarjana ke Kedoktoran adalah tidak dibenarkan.

Pindah Kredit Dengan Gred Dan Tanpa Gred

1.   Pindah Kredit Dengan Gred:

Pindah kredit secara horizontal bagi pelajar yang berada dalam sistem (pelajar yang masih dalam pengajian).  Kredit dikira dalam kredit bergraduat pelajar dan gred kursus diambil kira dalam pengiraan Purata Nilai Gred (PNG) dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK).

Contoh: Pelajar yang sedang mengikuti Diploma A bertukar ke Diploma B pada semester kedua. Maka proses pindah kredit pelajar tersebut akan mengambil kira gred kursus dari Diploma A dalam pengiraan PNG dan PNGK pelajar di Diploma B.

2.   Pindah Kredit Tanpa Gred (juga dikenali sebagai pengecualian kredit/unit): 

Pindah kredit secara vertical atau horizontal bagi pelajar yang telah keluar daripada sistem (pelajar yang telah tamat pengajian) atau telah mencapai tahap kompetensi dalam kursus berkenaan. Kredit kursus yang dipindahkan diambil kira dalam kredit bergraduat tetapi gred kursus tidak diambil kira dalam pengiraan PNG dan PNGK pelajar.

Contoh 1: Pelajar lepasan sijil menyambung pengajian ke peringkat diploma dan membuat pindah kredit bagi kursus-kursus yang bersesuaian. Maka kredit bagi kursus yang pernah diikuti di peringkat sijil akan diambil kira dalam pengiraan kredit bergraduat pelajar. Namun, gred kursus tidak akan diambil kira dalam pengiraan PNG dan PNGK pelajar.

Contoh 2: Pelajar yang telah tamat program Diploma A dan kemudian ingin mengikuti program Diploma B. Bagi situasi ini yang mana pelajar telah memiliki kelayakan di peringkat yang sama, maka pindah kredit tidak akan mengambil kira gred kursus dalam pengiraan PNG dan PNGK pelajar di Diploma B. Hanya kredit yang akan diambil kira dalam pengiraan PNG dan PNGK pelajar.

Contoh 3: Pindah kredit berdasarkan pengalaman melalui APEL Credit (C) tidak melibatkan gred. Oleh yang demikian, hanya kredit yang akan diambil kira.

Pindah kredit bagi perkara (1) dan (2) tetap perlu mematuhi syarat umum pindah kredit iaitu:

a)   Gred lulus - gred minimum iaitu Gred C

b)   Nilai kredit - sama dengan nilai kredit kursus bagi program di PPT penerima

c)   Kesetaraan kurikulum kursus - tidak kurang 80% dan

d)  Kursus yang boleh dipindahkan kredit hendaklah daripada program yang telah mendapat Akreditasi (termasuk Akreditasi Sementara)/Pengiktirafan dari badan yang berautoriti di negara berkenaan.

Sumber:

 1.  Senat ke-206 bertarikh 16 Disember 2010 - Dasar Pengecualian Unit

 2. Senat ke-224 bertarikh 31 Disember 2013 – Dasar Pengecualian Unit dan Pemindahan Kredit Ijazah Sarjana Muda dalam Laporan Kajian Semula Dasar Pengambilan Pelajar Ijazah Sarjana Muda dan Diploma

3.  Senat ke-240 bertarikh 28 Julai 2016 – Dasar Pindah Kredit

4. Kompilasi Dasar Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi (2009-2017) Edisi Kedua. Agensi Kelayakan Malaysia (2017). No.97 dan No.98

Peperiksaan Pelajar

Peperiksaan Pelajar


Tarikh Peperiksaan

  • Tarikh peperiksaan adalah berdasarkan kepada kalendar akademik setiap sidang akademik yang telah diluluskan oleh Senat.
  • Peperiksaan boleh dijalankan setiap hari dalam tempoh peperiksaan yang ditetapkan oleh Senat, kecuali tarikh-tarikh yang diisytiharkan sebagai cuti umum.
  • Peperiksaan bagi setiap kursus hanya boleh dijalankan dalam tempoh peperiksaan yang ditetapkan oleh Senat sahaja, kecuali kes-kes khas yang diluluskan secara pentadbiran oleh Naib Canselor dan dilaporkan kepada Senat dalam mesyuarat berikutnya.

Waktu Peperiksaan 

Peperiksaan akan dijalankan dalam dua sidang iaitu : 

Sidang Pagi       -  mulai jam 9 pagi

Sidang Petang   -  mulai jam 2.15 petang

                           -  hari jumaat mulai jam 3.00 petang

Syarat Penetapan Slot/Tarikh Peperiksaan

  • Peperiksaan tidak boleh dijalankan pada hari cuti umum seperti Hari Kebangsaan dan lain-lain.
  • Tidak berlaku pertindihan jadual waktu peperiksaan, iaitu pelajar menduduki dua kertas peperiksaan pada masa yang sama.
  • Pelajar tidak boleh menduduki peperiksaan empat (4) kali berturut-turut tanpa selang masa.  Peraturan membenarkan maksimum 3 kali berturut-turut sahaja.

Peperiksaan Bagi Kumpulan Kecil

Perkhidmatan​

 

Peperiksaan bagi kursus-kursus kumpulan kecil (kurang daripada 25 calon) perlu diuruskan sendiri oleh pusat pengajian/pusat berkenaan dan jadual waktunya hendaklah dikeluarkan oleh pusat pengajian/pusat berkenaan. 

Pengeluaran Jadual Waktu Peperiksaan

Jadual waktu peperiksaan muktamad (berwarna hijau) dikeluarkan selewat-lewatnya pada minggu ke-7 yang mengandungi tarikh, kod kertas, masa peperiksaan dan tempat peperiksaan

Paparan Jadual Waktu Peperiksaan

Jadual waktu peperiksaan dipaparkan di tempat-tempat berikut:-

  • Di papan kenyataan pusat pengajian/pusat, perpustakaan dan di tempat-tempat strategik yang lain.
  • Untuk mencetak jadual waktu individu, paparan jadual waktu turut dimuatkan dalam laman web USM usm.my

Jangkamasa Peperiksaan

Jangkamasa peperiksaan bagi setiap kursus adalah seperti berikut:- 

Kursus yang Bernilai

Tempoh Peperiksaan

2 unit

1 jam untuk kerja kursus melebihi 40%

2 unit

2 jam untuk kerja kursus 40% dan ke bawah

3 unit atau lebih

2 jam untuk kerja kursus melebihi 40%

3 unit atau lebih

3 jam untuk kerja kursus 40% dan ke bawah

   
     

Penilaian Kursus

  • Semua peperiksaan diadakan pada penghujung setiap semester.
  • Pelajar-pelajar mestilah menduduki peperiksaan akhir bagi kursus-kursus yang telah didaftarkannya (semasa tempoh pendaftaran kursus) kecuali kursus-kursus yang mengandungi komponen 100% kerja kursus.
  • Penilaian sesuatu kursus itu ditentukan berdasarkan prinsip penilaian secara berterusan daripada komponen kerja kursus dan peperiksaan akhir.  Penilaian terhadap kerja kursus pula boleh mengandungi aspek-aspek seperti penglibatan dalam pengajaran, ujian, esei, projek, tugasan, laporan, persembahan, amali, disertasi, kuiz, seminar, lisan, studio, viva voce dan lain-lain lagi.

Pertukaran Rancangan Pengajian

Pertukaran Rancangan Pengajian


DASAR DAN PROSEDUR PENGURUSAN PERTUKARAN RANCANGAN PENGAJIAN (PRP), IJAZAH SARJANA MUDA

DASAR

  • Pertukaran Rancangan Pengajian (PRP) bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar untuk memohon menukar Rancangan Pengajian mereka sekarang kepada Rancangan Pengajian lain.
  • Pengurusan Pertukaran Rancangan Pengajian diuruskan melalui Seksyen Pengambilan Pelajar, Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar .
  • Permohonan pelajar adalah secara bertulis kepada Unit Pengambilan Pelajar.
  • Caj yuran permohonan dibayar kepada Jabatan Bendahari dan resit bayaran hendaklah dilampirkan bersama-sama dengan surat permohonan.

Caj yang dikenakan seperti kadar berikut:

Kategori Permohonan Kadar (RM)
Permohonan pertama 100.00
Permohonan lanjut (gagal permohonan terdahulu) 100.00
Permohonan lanjut (berjaya permohonan terdahulu) 500.00
Pertukaran mod pengajian (Penuh Masa ke Jarak Jauh) 500.00

* Tempoh bermastautin mengambilkira tempoh pengajian asal.

PERATURAN PENTADBIRAN

1. Pertukaran Rancangan Pengajian dibuat sekali untuk setiap semester bagi setiap Sidang Akademik.

2. Pertukaran Rancangan Pengajian adalah tidak dibenarkan kepada pelajar baharu.

3. Pelajar hanya dibenar untuk membuat permohonan Pertukaran Rancangan Pengajian sekali sahaja dan pelajar yang telah berjaya tidak dibenarkan untuk menukar ke Pengajian Asal mereka.

4. Pelajar hanya dibenarkan membuat permohonan Pertukaran Rancangan Pengajian tidak melebihi tempoh bermastautin di USM - 7 Tahun dalam program pengajian semasa (CDK tidak diambil kira).

5. Proses kelulusan Pertukaran Program Pengajian adalah tertakluk kepada perakuan Pusat Pengajian Asal dan Pusat Pengajian yang dipohon serta diluluskan oleh Timbalan Naib Canselor (HEAA).

6. Pelajar tidak dibenarkan bertukar ke Program Doktor Perubatan, Doktor Pergigian dan Sains Farmasi.

 

SYARAT DAN PERATURAN

Syarat dan peraturan adalah seperti berikut :-

1. Pencapaian akademik dalam peperiksaan (Matrikulasi, STPM, Diploma/ setaraf).

2. Keputusan MUET .

3. Kombinasi mata pelajaran yang dimiliki bersesuaian dengan kursus yang dipohon.

4. Gred mata pelajaran untuk tujuan pengkhususan untuk kursus yang dipohon.

5. Titik Ambang (cut of point) pelajar sedia.

6. Lulus temu duga / ujian kelayakan yang ditetapkan mengikut Pusat Pengajian (sekiranya perlu).

7. Kekosongan tempat .

8. Kelulusan dari Dekan Pusat Pengajian Asal dan Pusat Pengajian Baharu .

9. Perakuan daripada TNC.


KEPUTUSAN PERMOHONAN

  • Keputusan Permohonan Pertukaran Rancangan Pengajian dikeluarkan kepada pelajar dan turut disalinkan kepada Unit Rekod Pelajar, Unit Peperiksaan dan Pengijazahan, Jabatan Bendahari, Perpustakaan, Bahagian Hal Ehwal & Pembangunan Pelajar, Pusat Pengajian Asal dan Pusat Pengajian yang dipohon.
  • Tarikh pendaftaran tertakluk kepada PTJ yang dipohon samaada pada semester II atau Sidang Akademik berikutnya.

Pengambilan Pelajar Ijazah Pertama

Pengambilan Pelajar Ijazah Pertama


DASAR UTAMA PENGAMBILAN

Universiti Sains Malaysia menerima permohonan yang sangat tinggi bagi setiap sidang akademik. Permohonan bagi setiap program yang ditawarkan adalah melebihi bilangan unjuran yang disediakan. Setiap permohonan akan dinilai berdasarkan syarat dan kriteria kemasukan tertentu yang ditetapkan oleh Senat Universiti. Dasar pengambilan pelajar USM merangkumi tiga (3) aspek berikut :

i. Merit

Mengguna pakai sistem meritokrasi dalam pemilihan pelajar yang mengambilkira 90% akademik dan 10% ko-kurikulum. Kekuatan akademik calon adalah sumbangan terbesar dalam pemeringkatan di mana kombinasi gred mata pelajaran diperingkat STPM/Matrikulasi/ Diploma/Setaraf yang mewakili 90% akademik diambil kira dan sumbangan di dalam bidang sukan / permainan / kelab / persatuan / badan beruniform / Program Latihan Khidmat Negara akan mewakili 10% sumbangan. Penggunaan sistem pemeringkatan lebih berdaya saing, adil, telus dan konsisten.


ii. Potensi

Kemampuan calon perlu dilihat dari pelbagai aspek bukan sahaja kekuatan akademik, malahan potensi, bakat dan kecenderungan calon perlu diambil kira. Kekuatan mental, watak, minat, kecerdasan dan nilai-nilai diri calon amat penting di dalam sesuatu program pengajian. Calon yang berpotensi dapat mengembangkan dan menyerlahkan bakat supaya menjadi lebih berjaya didalam program mereka dan universiti seterusnya memberi sumbangan kepada masyarakat, bangsa dan negara. iii. Diversiti

Kepelbagaian latar belakang akademik, etnik, budaya, gender, pekerjaan dan tempat tinggal amat penting diambil kira dalam pengambilan sesuatu program pengajian.Ruang dan peluang pengajian kepada calon dari kepelbagaian latar belakang dapat meningkatkan rasa kesatuan di samping memupuk daya saing yang sihat.Keseimbangan dalam kalangan pelajar dari pelbagai latar belakang menjadi pertanda kepada wawasan insani dan nilai integriti sesebuah universiti.

PENGAMBILAN KE USM

USM menawarkan pelbagai Program Pengajian secara penuh masa kepada calon-calon yang berminat dan berkelayakan. Program seperti Sains, Sains Gunaan, Sains Komputer, Kejuruteraan, Teknologi, Seni, Sains Farmasi, Perubatan, Sains Kesihatan, Pergigian, Sastera, Sains Kemasyarakatan, Muzik, Seni Halus, Pendidikan, Ekonomi, Pengurusan dan Perakaunan, sering menjadikan pilihan para pelajar untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.

Saluran Pengambilan terdiri daripada : 

A. Saluran Perdana
B. Saluran Alternatif
 
  • Luar Negara / Antarabangsa
  • Saluran Kedua
  • Program Pendidikan Sepanjang Hayat (Warga Sukan, Warga Budaya & Warga Emas)
  • MD USM-KLE
  • Seni Bina USM-KPM (PPD)
  • Seni Halus (Grafik Komunikasi), USM-Kolej Equator
  • Diploma Kejururawatan
C. Rancangan Pengajian Jarak Jauh

MAKLUMAT LANJUT SALURAN PENGAMBILAN

A.   Saluran Perdana (Lepasan STPM / Matrikulasi / Diploma / Setaraf)

Mulai Sidang Akademik 2017/2018 permohonan kemasukan ke USM bagi Saluran Perdana adalah melalui Aplikasi Dalam Talian(Online Application) yang diselaraskan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pemohon boleh melayari Laman Web http://upu.moe.gov.my/web/ untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai syarat am serta keperluan khas program dan seterusnya mengemukakan permohonan melalui Aplikasi Dalam Talian selepas iklan mengenainya disiarkan dalam akhbar utama tempatan. 

Untuk keterangan lanjut :-

Bahagian Pengurusan Akademik
Universiti Sains Malaysia

Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU)
Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia
Aras 4, No. 2 Menara 2, Jalan P5/6
Presint 5 Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62200 Wilayah Persekutuan Putrajaya 
Hotline 1 : 03-8870 6767
Hotline 2 : 03-8870 6777
Faks : 03-8870 6864
Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

B.   Saluran Alternatif

i.   Luar Negara / Antarabangsa

Pengambilan bagi pelajar bukan warganegara Malaysia / dari luar negara untuk melanjutkan pengajian Ijazah Pertama secara penuh masa. Pelbagai bidang ditawarkan kepada calon luar negara seperti Sains Tulen, Sains Gunaan, Sastera, Kejuruteraan dan Sains Kesihatan.

ii.    Saluran Kedua

Pengambilan pelajar baru melalui corak kemasukan saluran kedua adalah dikhaskan untuk calon-calon yang sedang bekerja, yang sebelum ini tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, untuk memungkinkan mereka memperolehi kelayakan ijazah. Program yang ditawarkan adalah seperti Kejuruteraan Awam, Teknologi, Pendidikan Khas, PBP (Perumahan, Bangunan dan Perancangan), Sains Kesihatan, program Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) (Perancangan dan Pengurusan Pembangunan) dan program Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial (Kepujian).

iii.    Pendidikan Sepanjang Hayat (Warga Sukan, Warga Budaya & Warga Emas)

Pengambilan pelajar dibawah program pendidikan sepanjang hayat bertujuan untuk membuka peluang kepada individu yang ingin terus menimba ilmu bagi merealisasikan impian untuk memperolehi ijazah disamping untuk memantapkan kualiti taraf pendidikan negara dan meningkatkan tahap intelektual di kalangan masyarakat Malaysia. Pelajar yang terpilih dibawah Program Sepanjang Hayat akan diberikan diskaun yuran pengajian 50%.

a.  Warga Sukan
Terbuka kepada calon lepasan STPM/Matrikulasi/Pra-U/Setaraf dan mempunyai pengalaman sebagai atlet negeri atau negara yang masih bergiat aktif sekurang-kurangnya 3 tahun.

b.  Warga Budaya
Terbuka kepada calon-calon yang mempunyai pengalaman atau bekerja sekurang-kurangnya 5 tahun dalam bidang berkaitan Seni dan diiktiraf di peringkat Kebangsaan.

c.  Warga Emas
Terbuka kepada warganegara yang berumur sekurang-kurangnya 50 tahun dan ke atas serta mempunyai pengalaman kerja sekurang-kurangnya 10 tahun dalam bidang berkaitan.

iv.    MD USM-KLE

Program Off Shore bersama Karnataka Lingayat Education (KLE) University di Belgaum, Bangalore, India mula ditawarkan pada pengambilannya yang pertama mulai Sidang Akademik 2010/2011. Pelajar akan mengikuti pengajian di India selama lima tahun dan dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan USM setelah menamatkan pengajian.

v.   Seni Bina USM-KPM (PPD)

USM telah menjalin kerjasama dengan Politeknik Port Dickson melalui program pesisir USM-KPM(PPD) bagi program Ijazah Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan Dan Perancangan)(Kepujian) (Seni Bina). Program ini bertujuan meluaskan peluang pendidikan merentas kampus dan merealisasikan motto university 'Kami Memimpin'.  Tempoh pengajian adalah selama 3 tahun di Politeknik Port Dickson Negeri Sembilan dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan Dan Perancangan) (Kepujian) (Seni Bina).

vi.   Seni Halus (Grafik Komuniaksi), USM-Kolej Equator

USM menjalin kerjasama dengan Kolej Equator bagi program Sarjana Muda Seni Halus (Kepujian) (Grafik Komunikasi). Program ini adalah program sedia ada USM dan disasarkan kepada pelajar lepasan Diploma Kolej Equator serta pelajar-pelajar lepasan STPM yang lain. Program ini ditawarkan di Kolej Equator pada pengambilannya yang pertama mulai Sidang Akademik 2020/2021.

vii.    Diploma Kejururawatan

Program Diploma Kejururawatan USM merupakan satu program profesional yang berfokuskan kepada pendidikan akademik dan latihan klinikal bagi melatih jururawat profesional yang mahir dalam praktis kejururawatan klinikal moden yang selamat serta berupaya menyumbang kepada kesihatan masyarakat. Program ini terbuka kepada calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

C.   Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ)

Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) telah dimulakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1971 dan merupakan satu rancangan pengajian yang terulung di Malaysia yang menawarkan pengajian ijazah secara jarak jauh.

Kursus-kursus yang ditawarkan adalah setara dengan kursus yang diikuti oleh pelajar dalam kampus. Bahan pengajaran terdiri daripada bahan bercetak, pita rakaman dan bahan aneka media yang lain.

Jangkamasa pengajian ialah selama 5 tahun (minimum) hingga 12 tahun (maksimum). Mereka yang berjaya akan dianugerahkan salah satu Ijazah Sarjana Muda seperti berikut : 

  • Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian)
  • Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian)
  • Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian)
  • Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian)

Maklumat lanjut layari https://pohon.usm.my

Alamat

Bahagian Pengurusan Akademik
Jabatan Pendaftar, Aras 5 Bangunan Canselori, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang
Tel : 04 653 4358  |  Fak : 04 653 3128 
Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.  |  

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang ketidaktepatan, kesilapan atau salah faham yang timbul daripada penggunaan Google Translator. Pengguna digalakkan untuk mendekati terjemahan dengan kesedaran dan pertimbangan terhadap batasan teknologi terjemahan mesin. Maklumat yang diterbitkan di dalam bahasa melayu akan digunakan sekiranya terdapat percanggahan.

Hak Cipta © 2022 Bahagian Pengurusan Akademik,
Universiti Sains Malaysia.

  • Last Modified: Thursday 05 June 2025.